Berdasarkan kepada pengalaman dalam mengurus pengambilan pelajar ke IPT, saya boleh katakan bahawa terdapat sebahagian pelajar serta ibu bapa yang kurang memahami tahap-tahap program pengajian yang di tawarkan oleh IPT semasa membuat permohonan kemasukan.
Selain itu, terdapat juga sebahagian yang tidak membuat semakan akreditasi program-program yang ditawarkan menyebabkan berlakunya permasalahan di kemudian hari termasuklah kesukaran pelajar untuk menyambung pengajian serta mendapatkan bantuan kewangan untuk pembiayaan pendidikan.
Bagi permohonan melalui UPU Online, saya pasti masalah ini tidak berlaku kerana pihak KPT khususnya Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA JPT) telah membuat saringan yang teliti.
Sehubungan itu, bagi membuat perancangan laluan akademik yang terbaik untuk para pelajar khususnya lepasan SPM/ STPM 2024, adalah amat penting untuk ibu bapa dan pelajar memahami tahap dan peringkat pensijilan yang ditawarkan khususnya program-program akademik di Malaysia.
Perkara paling utama sebelum membuat pemilihan program adalah dengan memastikan bahawa program-program tersebut telah mendapat:
Akreditasi khususnya Agensi Kelayaan Malaysia (MQA); dan
Pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
1. Apakah yang dimaksudkan dengan Kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Akreditasi Sementara, Akreditasi Penuh dan Pengiktirafan?
Kelulusan KPT
Kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh KPT bagi membolehkan IPT mengendalikan sesuatu program pengajian. Walau bagaimanapun, kelulusan ini tidak bermaksud satu-satu program itu telah diakredit oleh MQA.
Akreditasi penuh (Full Accreditation)
Satu perakuan rasmi kepada IPT bahawa sijil, diploma atau ijazah yang akan dianugerahkan kepada graduan adalah selaras dengan standard yang ditetapkan oleh MQA.
Akreditasi sementara (Provisional Accreditation)
Sesuatu program yang baharu ditawarkan oleh IPT akan melalui fasa awal penilaian akreditasi di mana program tersebut akan diberi status Akreditasi Sementara.
Para pelajar boleh memohon untuk program-program berstatus Akreditasi Sementara ini kerana IPT yang menawarkan program perlu memenuhi semua syarat serta kualiti dan standard yang ditetapkan MQA semasa penilaian akreditasi sementara sebelum diberi status Akreditasi Penuh.
Sehubungan itu, sekiranya anda gagal memperolehi maklumat akreditasi penuh program di MQR, anda boleh membuat semakan program melalui pautan berikut: http://www2.mqa.gov.my/pasp bagi status Akreditasi Sementara.
Pengiktirafan
Pengesahan kewujudan, kesahan atau kesahihan sesuatu program dan kelayakan.
2. Apa itu MQA, MQF dan MQR?
Agensi Kelayaan Malaysia (MQA) adalah badan yang melaksanakan serta mengawal sistem jaminan kualiti pengajian tinggi di Malaysia serta menyelaras akreditasi program-program akademik berdasarkan kriteria dan standard kelayakan yang dikenali sebagai Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF).
Program-program akademik dikategorikan kepada 8 Tahap pensijilan di MQF iaitu pensijilan terendah di tahap Sijil hinggalah ke tahap tertinggi Kedoktoran.
Sehubungan itu perjalanan atau laluan akademik seseorang pelajar adalah bergantung kepada tahap mana mereka memulakan perjalanan akademik ini dan meneruskan lanjutan pengajian berikutnya berdasarkan kelayakan masing-masing.
Tahap Kelayakan MQF
Berdasarkan Tahap Kelayakan di atas, laluan akademik serta program-program yang layak dipohon oleh para pelajar adalah seperti berikut:
>>Lepasan SPM setaraf:
Sijil Tahap 3
Diploma
Asasi
STPM/ A Level
(Program Asasi dan STPM/ A Level tidak disenaraikan di MQF kerana tidak mematuhi sebarang peringkat MQF. Kelayakan Asasi dan STPM/ A Level merupakan program persediaan sebagai kelayakan masuk ke IPT. Walaupun tidak senaraikan di MQF, status akreditasi program Asasi dan A Level masih boleh disemak di MQR)
>>Lepasan STPM setaraf:
Ijazah Sarjana Muda
3. Kepentingan Akreditasi MQA
Akreditasi MQA bermaksud sesuatu program telah memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan bagi setiap tahap program akademik dan memastikan para pelajar mendapat laluan akademik yang betul serta memudahkan permohonan pindahan kredit.
Ketiadaan akreditasi MQA akan menyebabkan sesuatu program akademik tidak diiktiraf oleh mana-mana IPT khususnya di Malaysia dan para pelajar akan berdepan masalah apabila memohon menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi serta untuk memohon pindahan kredit.
Akreditasi MQA adalah penting apabila memohon mendapatkan bantuan kewangan atau kemudahan pinjaman pendidikan seperti mana ditetapkan oleh pemberi pinjaman seperti PTPTN.
Semua program yang diakredit oleh MQA juga membawa maksud diiktiraf oleh JPA/ Kerajaan Malaysia bagi tujuan permohonan perjawatandan pelantikan dalam perkhidmatan awam.
4. Bagaimana untuk Menyemak Status Akreditasi MQA?
Ibu bapa dan para pelajar boleh membuat semakan status sesuatu program akademik yang telah mendapat akreditasi penuh di Daftar Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualification Register (MQR) melalui pautan berikut: https://www2.mqa.gov.my/mqr/
MQR merupakan sumber rujukan dan panduan berkaitan program pendidikan tinggi yang telah diakreditkan dan dianugerahkan oleh pemberi pendidikan tinggi samada dari dalam atau luar negara. Program atau kelayakan ini hendaklah selaras dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) dan termasuk semua peringkat iaitu sijil, diploma, diploma lanjutan dan ijazah atau yang setaraf dengannya.
Secara amnya MQR bertujuan untuk:
menyediakan maklumat mengenai semua kelayakan berdasarkan program yang telah diakreditkan;
membolehkan semua pihak berkepentingan mengetahui, memahami serta membuat perbandingan mengenai ciri-ciri sesuatu kelayakan dan hubungkaitnya dengan kelayakan yang lain;
memudahkan proses pemindahan kredit.
Kandungan MQR
Pada masa ini, maklumat yang terdapat dalam MQR adalah seperti berikut:
(i) nama dan alamat institusi pendidikan tinggi (IPT)
(ii) nombor rujukan kelayakan
(iii) nama kelayakan
(iv) bidang kelayakan
(v) tempoh sah laku
(vi) tahap kelayakan dan
(vii) jam kredit bergraduat.
5. Kesimpulan
Setelah memahami kepentingan akreditasi ini, sepertimana dinyatakan pada awal tadi, para ibu bapa dan pelajar perlu sentiasa peka dan memastikan program yang dipohon telah mendapat akreditasi khususnya MQA bagi mengelakkan sebarang masalah yang akan merugikan pelajar sendiri pada masa hadapan.
Untuk yang memohon ke IPTS, selain akreditasi pastikan juga institusi yang dipohon adalah institusi yang berdaftar dengan KPT dan lesen pendaftarannya masih sah laku semasa memohon program.
Semoga info yang disediakan ini membantu semua ibu bapa dan para pelajar dalam membuat keputusan betul yang tepat.
Comments