Bagaimana jika pelajar tidak mendapat sebarang tawaran melalui UPU Online?
PERMOHONAN RAYUAN
Seperti yang pernah saya katakan dalam posting sebelum ini, pemohon yang gagal mendapat sebarang tawaran daripada UPU Online, Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) akan membuka peluang untuk pemohon membuat rayuan iaitu dalam tempoh 10 hari daripada tarikh keputusan diumumkan.
Untuk makluman, pemohon yang telah mendapat tawaran tetapi menolak atau pemohon yang ingin membuat pertukaran program yang ditawarkan adalah tidak dibenarkan untuk membuat rayuan.
Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.
JADI, KRITERIA PEMOHON YANG BAGAIMANA BOLEH MEMBUAT RAYUAN?
Hanya calon daripada kriteria berikut sahaja dibenarkan membuat rayuan:
Pemohon yang tidak berjaya mendapat sebarang tawaran ATAU
Pemohon yang mendapat tawaran pengajian sijil. (Pemohon kategori ini juga boleh membuat rayuan untuk program Diploma)
DI MANA PERMOHONAN RAYUAN INI DIBUAT?
Contoh Hebahan | |
Rayuan ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik hanya melalui UPU Online. Untuk tahun 2024, pembukaan permohonan rayuan UPU Online adalah pada tarikh keputusan diumumkan dan akan ditutup dalam tempoh 10 hari. Pastikan anda tidak terlepas tarikh penting ini! | |
Rayuan ke Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Latihan (ILKA) boleh dimajukan terus kepada institusi terbabit tanpa melalui UPU Online. Pelajar perlu membuat carian untuk hebahan pembukaan rayuan oleh KK/ ILKA yang berkenaan dan membuat rayuan di link yang disediakan. |
Artikel kali ini walaubagaimanapun mengkhusus kepada kaedah membuat permohonan rayuan melalui UPU Online.
PROSES RAYUAN UPU ONLINE
Langkah 1: Buka laman web UPU Online: https://upu.mohe.gov.my/ dan klik pada butang “UPUOnline” | |
Langkah 2: Login semula menggunakan No. Kad Pengenalan dan kata laluan (sama seperti permohonan) | |
Langkah 3: Terus ke Menu sebelah kiri Dashboard dan klik pada “Borang” | |
Langkah 4: Lengkapkan Maklumat Peribadi Pelajar dan Maklumat Keluarga di Dashboard tersebut | |
Langkah 5: Buat Pilihan program *Rujuk "Tips Membuat Pilihan Program" | |
Langkah 6: Selepas selesai membuat pilihan program, pastikan klik butang “Simpan” untuk melengkapkan permohonan. | |
Langkah 7: Klik butang “Cetak” untuk menyimpan rekod permohonan | |
Langkah Terakhir
| |
Pelajar boleh menyemak semula status permohonan rayuan sama ada telah diterima oleh sistem di Dashboard UPU Online.
Klik pada menu “Semak Permohonan Rayuan” |
*Tips Membuat Pilihan Program:
Seboleh-bolehnya jangan senaraikan semula program-program seperti yang disenaraikan waktu permohonan dahulu khususnya program-program yang kompetetif kerana peluang untuk mendapat tawaran adalah tipis. Jika hendak senaraikan juga, pilihlah 1 atau 2 program yang mana merit pelajar lebih tinggi daripada purata merit program yang dipilih.
Buat senarai program selain daripada program pilihan sebelum ini yang pelajar minat serta memenuhi syarat am dan khas yang diperlukan program tersebut.
Senarai pendekkan kepada 4 program sahaja berdasarkan merit. Sebaik-baiknya pilih program yang mana merit pelajar adalah setara atau lebih daripada purata merit program tersebut.
Paling penting juga adalah pilih program yang pelajar MINAT. Jangan letakkan populariti IPT atau di mana lokasi IPT tersebut berada sebagai keutamaan dalam memilih program.
Jika ada pilihan program dalam senarai pelajar yang memerlukan temuduga, letakkan di 2 pilihan yang pertama diikuti program yang tidak bertemuduga.
Pastikan susun program yang paling diminati teratas dalam pilihan.
Semoga info ini dapat membantu para pelajar dalam permohonan rayuan di UPU dan semoga mendapat tawaran program yang anda minati! Selamat Berjaya di IPT!
<<<------------------------------------------------------------------------------------------>>>
Bacaan berkaitan:
Nak tanya tentang tarikh keputusan rayuan upu. Bila agaknya keluar ya?