Apa itu UPU Online?
UPU Online adalah sebuah sistem yang diselenggarakan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) di Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Sistem ini bertujuan untuk menyelaras proses kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia. Ini termasuk 20 Universiti Awam (UA), 3 Politeknik Premier, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kolej Matrikulasi KPM, Politeknik Konvensional/METrO, Kolej Komuniti, dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Prinsip Meritokrasi
Dalam proses penempatan, UPU Online menggunakan prinsip meritokrasi, di mana 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum digunakan untuk menentukan kelayakan pelajar. Ini dilakukan tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, negeri, atau tempat tinggal pelajar.
Laluan Khas
UPU Online juga menyediakan laluan khas untuk kumpulan tertentu. Laluan khas ini adalah mod kemasukan yang diwujudkan bagi empat (4) kumpulan iaitu Orang Asli, B40, Atlet dan OKU di mana kumpulan ini akan diproses pemilihan kemasukan tanpa perlu bersaing dalam sistem meritokrasi kelompok perdana. Walau bagaimanapun, pemilihan golongan ini masih tertakluk kepada memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan dan kekosongan tempat yang disediakan.
PERMOHONAN UPUOnline
1. Kelayakan Pemohon
Permohonan memasuki UA/ IPTA adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap yang mempunyai No.KP/ MyKad sahaja. Dua kategori permohonan yang layak memohon adalah pelajar lepasan SPM/ setaraf seperti jadual di bawah.
Kategori Pemohon Berdasarkan Kelayakan Lepasan SPM Setaraf
2. Proses Permohonan
1. Memulakan Permohonan
Layari portal rasmi UPU Online di https://upu.mohe.gov.my.
Jika anda adalah pengguna baru, klik pada ‘Daftar Akaun Baru’.
2. Pendaftaran Pengguna
Isikan butiran yang diperlukan termasuk No Kad Pengenalan, Alamat E-Mel, Nama Ibu, Soalan Keselamatan, dan Kata Laluan.
3. Syarat Kelayakan
Semak syarat kelayakan untuk program yang anda minat. Anda boleh merujuk kepada e-panduan di portal UPU Online.
4. Pemilihan Program
Anda akan diberi pilihan untuk memilih program pengajian yang anda minat. Pastikan anda memilih berdasarkan keutamaan anda.
5. Pengesahan dan Bayaran
Lengkapkan permohonan dan klik pada ‘Simpan’.
Bayaran proses sebanyak RM15 akan ditanggung oleh KPT.
6. Cetak Slip
Setelah selesai, cetak slip permohonan sebagai bukti permohonan telah dibuat.
Fasa Permohonan
Fasa 1: Fasa 1 biasanya untuk pelajar yang baru sahaja menyelesaikan SPM atau STPM. Permohonan untuk Fasa 1 biasanya dibuka pada awal tahun dan berlangsung selama beberapa bulan. Fasa 1 kebiasaannya akan berlangsung dari Januari hingga Mac.
Fasa 2: Fasa 2 akan berlangsung dari Mei hingga Jun bagi membuka peluang kedua untuk pelajar yang tidak berjaya memohon dalam Fasa 1 atau terlepas tarikh permohonan Fasa 1.
Apakah perbezaan permohonan Fasa 1 dan Fasa 2 bagi pelajar Matrikulasi/Asasi?
Pada Fasa 1, pemohon lepasan Matrikulasi/ Asasi akan mengisi maklumat peribadi dan pilihan program berdasarkan keputusan semester 1. Manakala pada fasa 2 pemohon hanya boleh membuat pilihan program bukan bertemuduga sahaja dan berdasarkan keputusan penuh peperiksaan.
3. Kemaskini Permohonan
Langkah untuk mengemaskini permohonan di UPU Online adalah penting di mana pelajar yang telah membuat permohonan ke IPTA/ILKA boleh mengemaskini maklumat atau pilihan program pengajian mereka sekiranya ada sebarang perubahan.
Mengapa Perlu Kemaskini?
Perubahan Pilihan Bidang Pengajian: Pelajar mungkin ingin mengubah pilihan program berdasarkan minat atau keputusan peperiksaan yang terkini.
Perubahan Maklumat: Jika terdapat kesilapan/ perubahan dalam maklumat yang diberikan semasa fasa permohonan, pelajar boleh membuat pembetulan semasa fasa kemaskini.
Cara Mengemaskini Permohonan
Layari Portal UPU Online: https://upu.mohe.gov.my.
Log masuk ke akaun UPU Online anda.
Pilih Opsyen [Kemaskini]
Kemaskini Maklumat: Ikuti arahan untuk membuat perubahan maklumat atau program pilihan.
Simpan dan Sahkan: Pastikan semua maklumat adalah betul sebelum menyimpan dan mengesahkan kemaskini.
Tarikh Penting
Pembukaan: Proses kemaskini akan dibuka selepas tamatnya fasa permohonan.
Penutupan: Proses kemaskini akan ditutup sebelum tarikh pengumuman keputusan permohonan UPU Online.
*Anda hanya boleh melakukan kemaskini sekali, jadi pastikan semua maklumat adalah tepat.
4. Hebahan dan Semakan Keputusan UPU Online lepasan SPM dan setaraf
Berdasarkan pada tahun-tahun sebelum ini, hebahan keputusan permohonan UPU Online kebiasaannya akan dibuat pada awal atau pertengahan bulan Julai setiap tahun (tertakluk kepada perubahan).
Terdapat 3 kaedah untuk membuat semakan keputusan permohonan UPU seperti berikut:
1. Portal Rasmi UPU
Layari portal rasmi UPU Online di pautan: https://upu.mohe.gov.my atau melalui pautan alternatif universiti awam yang disediakan iaitu: https://jpt.utm.my, https://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, https://jpt.ums.edu.my, dan https://jpt.umt.edu.my.
Masukkan Nombor Kad Pengenalan dan pilih kategori yang hendak disemak.
Klik masuk untuk melihat keputusan.
2. Aplikasi UPUPocket
Muat turun aplikasi UPUPocket dari Google Play Store atau Apple App Store.
Aplikasi ini juga boleh digunakan untuk menyemak kelayakan kemasukan, ePanduan, pengiraan merit, status permohonan dan tarikh-tarikh penting UPU.
3. Pesanan Ringkas (SMS)
Untuk semakan permohonan Universiti Awam (UA) dan Politeknik Premier: Taip UPU<jarak> RESULT<jarak>No Kad Pengenalan dan hantar ke 15888
Untuk semakan permohonan Politeknik Konvensional/METRO/ Kolej Komuniti/ ILKA (TVET): Taip: UPU <jarak> TVET <jarak> No Kad Pengenalan dan hantar ke 15888
5. Bagaimana jika Gagal Mendapat Tawaran Melalui UPUOnline?
Permohonan Rayuan
Bagi pemohon yang gagal mendapat sebarang tawaran daripada UPU Online, BKPA akan membuka peluang untuk pemohon membuat rayuan iaitu dalam tempoh 10 hari daripada tarikh keputusan diumumkan.
Pemohon yang telah mendapat tawaran tetapi menolak tawaran atau pemohon yang ingin membuat pertukaran program yang ditawarkan adalah tidak dibenarkan untuk membuat rayuan.
Kriteria pemohon yang boleh membuat rayuan
Hanya calon daripada kriteria berikut sahaja dibenarkan membuat rayuan:
Pemohon yang tidak berjaya mendapat sebarang tawaran; atau
Pemohon yang mendapat tawaran pengajian sijil
Kaedah permohonan rayuan
Rayuan ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik hanya melalui UPU Online.
Rayuan ke Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Latihan (ILKA) boleh dimajukan terus kepada institusi terbabit tanpa melalui UPUOnline.
6. RUMUSAN
Secara amnya, keseluruhan proses kemasukan pelajar melalui UPU Online adalah seperti di bawah. Pihak Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) akan membuat hebahan tarikh-tarikh penting melalui portal dam laman sosial BKPA. Kami juga akan kemaskini tarikh-tarikh penting tersebut di sini. Sila semak info selalu di sini.
Semakan dan Pertanyaan berkaitan permohonan.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau masalah, anda boleh menghubungi Hotline UPU di 03-86842363 atau melalui e-mel di maklumbalas@upu.mohe.gov.my.
Comentarios