Melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan langkah penting bagi memperoleh kelayakan akademik, kemahiran dan membina sahsiah diri pelajar yang akan membuka pelbagai peluang untuk masa depan khususnya kerjaya.
Di Malaysia, sistem UPU Online merupakan platform utama untuk pelajar lepasan SPM, STPM, dan setaraf dalam memohon tempat di universiti awam, politeknik, kolej komuniti, dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA).
Dalam artikel ini, kami akan membincangkan secara terperinci proses permohonan UPU Online, termasuk panduan langkah demi langkah, tip penting, serta maklumat terkini yang perlu diketahui oleh calon bagi meningkatkan peluang kejayaan permohonan mereka. Dengan persediaan yang betul, anda mampu menjadikan impian melanjutkan pelajaran ke IPT suatu kenyataan.
Apa itu UPU Online?
UPU Online adalah sebuah sistem yang diselenggarakan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) di Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Sistem ini bertujuan untuk menyelaras proses kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia. Ini termasuk 20 Universiti Awam (UA), 3 Politeknik Premier, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kolej Matrikulasi KPM, Politeknik Konvensional/METrO, Kolej Komuniti, dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Prinsip Meritokrasi
Dalam proses penempatan, UPU Online menggunakan prinsip meritokrasi, di mana 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum digunakan untuk menentukan kelayakan pelajar. Ini dilakukan tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, negeri, atau tempat tinggal pelajar.
Laluan Khas
UPU Online juga menyediakan laluan khas untuk kumpulan tertentu. Laluan khas ini adalah mod kemasukan yang diwujudkan bagi empat (4) kumpulan iaitu:
Orang Asli
B40
Atlet
OKU
Kumpulan ini akan diproses pemilihan kemasukan tanpa perlu bersaing dalam sistem meritokrasi kelompok perdana. Walau bagaimanapun, pemilihan golongan ini masih tertakluk kepada memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan dan kekosongan tempat yang disediakan.
PERMOHONAN UPU Online 2025
1. Kelayakan Pemohon
Permohonan UPU Online 2025 bagi kemasukan ke UA/ IPTA adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap yang mempunyai No.KP/ MyKad sahaja. Dua kategori permohonan yang layak memohon adalah pelajar lepasan SPM/ STPM setaraf seperti jadual di bawah.
Kategori Pemohon Berdasarkan Kelayakan Lepasan SPM Setaraf:
KATEGORI SPM | BUTIRAN KELAYAKAN |
A | Pemohon yang menggunakan kelayakan SPM tahun semasa |
B | Pemohon yang menggunakan keputusan SPM bukan tahun semasa. (SPM untuk 2 tahun sebelumnya sahaja) |
Kategori Pemohon Berdasarkan Kelayakan Lepasan STPM Setaraf:
2. Proses Permohonan
Pembelian Pin BSN (Nombor Unik ID UPU Online)
Bagi tujuan pendaftaran akaun untuk permohonan di UPU Online, pemohon perlu membuat pembelian Pin BSN sama ada di kaunter BSN atau secara dalam talian / ATM (bagi yang memiliki akaun BSN).
Memulakan Permohonan
Layari portal rasmi UPU Online di https://upu.mohe.gov.my. Jika anda adalah pengguna baru, klik pada ‘Daftar Akaun Baru’.
Selepas mendaftar akaun baru dan klik “Daftar”, tekan butang “Kembali”.
Masukkan semula maklumat Kad Pengenalan, Kata Laluan dan Kategori Pemohon
sama ada SPM atau STPM/Setaraf. Kllik “Log Masuk”.
Dashboard UPUOnline
Untuk memulakan permohonan, klik menu “Permohonan di sebelah kiri Dashboard.
Masukkan semula maklumat Kad Pengenalan dan pilih Kategori Pemohon.
Syarat Kelayakan
Semak syarat kelayakan untuk program yang anda minat. Anda boleh merujuk kepada e-panduan di portal UPU Online.
Pemilihan Program
Anda akan diberi pilihan untuk memilih program pengajian yang anda minat. Pastikan anda memilih berdasarkan keutamaan anda.
Pengesahan dan Bayaran
Lengkapkan permohonan dan klik pada ‘Simpan’.
Cetak Slip
Setelah selesai, cetak slip permohonan sebagai bukti permohonan telah dibuat.
Fasa Permohonan
Fasa 1 biasanya untuk pelajar yang baru sahaja menyelesaikan SPM atau STPM. Pada Fasa 1 semua program akan disenaraikan untuk permohonan (Program Bertemuduga dan Tanpa Temuduga). Pelajar lepasan SPM tahun semasa akan membuat permohonan program berdasarkan keputusan Percubaan SPM.
Permohonan untuk Fasa 1 biasanya dibuka pada awal tahun dan berlangsung selama satu (1) bulan. Fasa 1 kebiasaannya akan berlangsung antara Februari hingga Mac. Bagi tahun 2024, permohonan UPU Online mula dibuka pada 29 Februari 2024.
Fasa 2 akan berlangsung antara April hingga Mei bagi membuka peluang kedua untuk pelajar yang tidak berjaya memohon dalam Fasa 1 atau terlepas tarikh permohonan Fasa 1. Walau bagaimanapun, hanya program tanpa temuduga sahaja yang boleh dipohon/ dikemaskini. Bagi tahun 2024, permohonan Fasa 2 mula dibuka pada April 2024.
Apakah perbezaan permohonan Fasa 1 dan Fasa 2 bagi pelajar Matrikulasi/Asasi?
Pada Fasa 1, pemohon lepasan Matrikulasi/ Asasi akan mengisi maklumat peribadi dan pilihan program berdasarkan keputusan semester 1. Manakala pada fasa 2 pemohon hanya boleh membuat pilihan program bukan bertemuduga sahaja dan berdasarkan keputusan penuh peperiksaan.
3. Kemaskini Permohonan
Langkah untuk mengemaskini permohonan di UPU Online adalah penting di mana pelajar yang telah membuat permohonan ke IPTA/ILKA boleh mengemaskini maklumat atau pilihan program pengajian mereka sekiranya ada sebarang perubahan.
Mengapa Perlu Kemaskini?
Perubahan Pilihan Bidang Pengajian: Pelajar mungkin ingin mengubah pilihan program berdasarkan minat atau keputusan peperiksaan yang terkini.
Perubahan Maklumat: Jika terdapat kesilapan/ perubahan dalam maklumat yang diberikan semasa fasa permohonan, pelajar boleh membuat pembetulan semasa fasa kemaskini.
Cara Mengemaskini Permohonan
Layari Portal UPU Online: https://upu.mohe.gov.my.
Log masuk ke akaun UPU Online anda.
Pilih Opsyen [Kemaskini]
Kemaskini Maklumat: Ikuti arahan untuk membuat perubahan maklumat atau program pilihan.
Simpan dan Sahkan: Pastikan semua maklumat adalah betul sebelum menyimpan dan mengesahkan kemaskini.
Tarikh Penting
Pembukaan: Proses kemaskini akan dibuka selepas tamatnya fasa permohonan.
Penutupan: Proses kemaskini akan ditutup sebelum tarikh pengumuman keputusan permohonan UPU Online.
*Anda hanya boleh melakukan kemaskini sekali, jadi pastikan semua maklumat adalah tepat.
4. Hebahan dan Semakan Keputusan UPU Online lepasan SPM dan setaraf
Berdasarkan pada tahun-tahun sebelum ini, hebahan keputusan permohonan UPU Online kebiasaannya akan dibuat pada awal atau pertengahan bulan Julai setiap tahun (tertakluk kepada perubahan).
Terdapat 3 kaedah untuk membuat semakan keputusan permohonan UPU seperti berikut:
1. Portal Rasmi UPU
Layari portal rasmi UPU Online di pautan: https://upu.mohe.gov.my atau melalui pautan alternatif universiti awam yang disediakan iaitu: https://jpt.utm.my, https://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, https://jpt.ums.edu.my, dan https://jpt.umt.edu.my.
Masukkan Nombor Kad Pengenalan dan pilih kategori yang hendak disemak.
Klik masuk untuk melihat keputusan.
2. Aplikasi UPUPocket
Muat turun aplikasi UPUPocket dari Google Play Store atau Apple App Store.
Aplikasi ini juga boleh digunakan untuk menyemak kelayakan kemasukan, ePanduan, pengiraan merit, status permohonan dan tarikh-tarikh penting UPU.
3. Pesanan Ringkas (SMS)
Untuk semakan permohonan Universiti Awam (UA) dan Politeknik Premier:
Taip UPU<jarak> RESULT<jarak>No Kad Pengenalan dan hantar ke 15888
Untuk semakan permohonan Politeknik Konvensional/METRO/ Kolej Komuniti/ ILKA (TVET):
Taip: UPU <jarak> TVET <jarak> No Kad Pengenalan dan hantar ke 15888
-------------------------------------------------
Cara membuat semakan keputusan permohonan UPU Online.
SEMAKAN KEPUTUSAN
Sudah tentu buat yang pertama kali membuat permohonan di UPU hendak mengetahui bagaimana semakan keputusan UPU Online boleh dibuat.
Untuk makluman, keputusan permohonan boleh dibuat melalui kaedah berikut:
1. Semakan di portal rasmi UPU Online di pautan: https://upu.mohe.gov.my
atau melalui pautan alternatif universiti awam yang disediakan seperti berikut:
(boleh klik mana-mana pautan untuk semakan)
Klik Kategori "Lepasan SPM" atau "Lepasan STPM" | Masukkan No. Kad Pengenalan dan Klik "Masuk" |
2. Semakan melalui Aplikasi UPUPocket
Selain Portal di atas, pemohon juga boleh membuat semakan keputusan melalui Aplikasi UPUPocket. Kepada yang belum mempunyai aplikasi UPUPocket boleh muat turun aplikasi tersebut ke peranti pintar anda melalui Google Play Store atau Apple AppStore.
Sebarang pertanyaan atau masalah berkaitan UPUOnline, boleh hubungi:-
Hotline UPU: 03-86842363
Maklumbalas UPU: https://jpt.mohe.gov.my/maklumbalas
E-mel: upu@mohe.gov.my
UPUChat: https://upuchat.org/
Sepertimana semua sedia maklum, pengumuman tarikh keputusan pemohonan UPU Online bagi lepasan SPM untuk kemasukan ke Universiti Awam (UA)/ IPTA, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA pada sesi 2024/2025 adalah pada bulan Jun.
Sementara bagi lepasan STPM setaraf pula, calon-calon boleh mula menyemak keputusan UPU Online untuk kemasukan ke IPTA bermula awal September 2024.
Bagi memudahkan calon lepasan SPM/ STPM setaraf, di sini dikongsikan kaedah untuk membuat semakan keputusan permohonan UPU Online serta langkah-langkah penting untuk membuat rayuan serta peluang yang tersedia ke IPT Awam.
MAKLUMAN HEBAHAN KEPUTUSAN UPU ONLINE
CALON KATEGORI SPM SETARAF
Tarikh Penting:
Semakan Keputusan: Jun - tarikh akan dikemaskini
Pengesahan Terima Tawaran: Jun - tarikh akan dikemaskini
Pengeluaran Surat Tawaran oleh IPT:bermula Jun - tarikh akan dikemaskini
(selepas pengesahan terima tawaran oleh calon)
Tempoh Rayuan (calon tidak terima tawaran): Jun - tarikh akan dikemaskini
CALON KATEGORI STPM SETARAF
Tarikh Penting:
Semakan Keputusan: September - tarikh akan dikemaskini
Pengesahan Terima Tawaran: September - tarikh akan dikemaskini
Pengeluaran Surat Tawaran oleh IPT: bermula September - tarikh akan dikemaskini (selepas pengesahan terima tawaran oleh calon)
Tempoh Rayuan (calon tidak terima tawaran): September - tarikh akan dikemaskini
Pendaftaran Pelajar Baharu: September - tarikh akan dikemaskini
APA SETERUSNYA?
Kepada calon yang mendapat tawaran khususnya program pilihan utama mereka, diucapkan tahniah kerana anda telah pun memenangi persaingan khususnya untuk program-program popular dengan merit yang tinggi tersebut.
Pengesahan Menerima Tawaran
Klik pada pautan universiti yang tertera pada paparan tawaran untuk membuat "Pengesahan Setuju Terima Tawaran".
Tempoh setuju terima tawaran adalah selama 9 hari dan surat tawaran akan dikeluarkan oleh IPTA/ ILKA berkenaan 1 hari selepas hebahan rasmi keputusan permohonan di UPU Online.
Saya terlupa untuk membuat pengesahan setuju terima tawaran di laman sesawang universiti selepas tempoh yang telah ditetapkan. Bagaimanakah status tawaran tersebut, adakah masih sah?
Anda dikira menolak tawaran sekiranya gagal membuat pengesahan setuju terima tawaran tersebut dalam tempoh yang dinyatakan.
Saya mendapat tawaran melalui BKPA, JPT tetapi tidak berminat dengan kursus yang ditawarkan. Bolehkah saya memohon untuk menukar kursus lain?
Tawaran adalah muktamad. Pemohon yang telah Berjaya mendapat tawaran ke IPTA, IPG, Matrikulasi dan ILKA melalui UPU Online tidak dibenarkan untuk memohon sebarang pertukaran kursus yang lain.
Bagaimana jika TIDAK MENDAPAT TAWARAN melalui UPU Online?
Permohonan Rayuan
Bagi pemohon yang gagal mendapat sebarang tawaran daripada UPU Online, BKPA akan membuka peluang untuk pemohon membuat rayuan iaitu dalam tempoh 10 hari daripada tarikh keputusan diumumkan.
Pemohon yang telah mendapat tawaran tetapi menolak tawaran atau pemohon yang ingin membuat pertukaran program yang ditawarkan adalah tidak dibenarkan untuk membuat rayuan.
Kriteria pemohon yang boleh membuat rayuan
Kategori SPM/ setaraf:
Hanya calon daripada kriteria berikut sahaja layak membuat rayuan:
Pemohon yang tidak berjaya mendapat sebarang tawaran; atau
Pemohon yang mendapat tawaran pengajian sijil.
Kategori STPM/ setaraf:
Hanya calon daripada kriteria berikut sahaja layak membuat rayuan:
Pemohon yang tidak berjaya mendapat sebarang tawaran
Kaedah permohonan rayuan
Rayuan ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik hanya melalui UPU Online.
Rayuan ke Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Latihan (ILKA) boleh dimajukan terus kepada institusi terbabit tanpa melalui UPU Online.
*BACA LANJUT:
Bagaimana jika mendapat tawaran di UPU tetapi bukan program yang anda inginkan?
Peluang kedua ke Universiti Awam melalui Saluran Terus
Seperti yang dimaklumkan di atas, pelajar yang telah mendapat tawaran tiada lagi pilihan untuk membuat rayuan bagi mendapat program yang diminati atau yang disasarkan di UA/ IPTA kecuali jika anda ditawarkan program sijil sahaja.
Buat makluman pelajar lepasan SPM dan setaraf, anda masih berpeluang untuk mengikuti program pilihan anda di Universiti Awam.
Peluang kedua anda adalah untuk melihat sama
ada program yang anda minati tersebut ada ditawarkan oleh Universiti Awam melalui Saluran Terus.
Boleh baca di sini untuk info dan senarai program yang ditawarkan: DIRECT INTAKE 2024: SALURAN TERUS KE UNIVERSITI AWAM
Bagi program Asasi dan Diploma IIUM, UTM dan UMPSA yang ditawarkan untuk Sesi Akademik 2024/2025 boleh dapatkan info di pautan ini: Asasi/Diploma 2024.
Bagi program Sarjana Muda UTM dan UTeM yang ditawarkan untuk Sesi Akademik 2024/2025 boleh dapatkan info di pautan ini: Sarjana Muda 2024.
Peluang Pengajian Program Pilihan di IPTS
Pada masa ini, terdapat pelbagai peluang serta bidang pengajian yang ditawarkan oleh IPTS.
Walau pun yuran pengajiannya agak tinggi berbanding IPT Awam, kebanyakan IPTS juga ada menawarkan peluang pembiayaan pengajian atau biasiswa dan pelajar juga boleh mendapatkan pembiayaan pendidikan PTPTN dengan kadar yang lebih tinggi berbanding IPT Awam.
IPTS ini juga ada yang dikategorikan sebagai milik Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Universities) seperti Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Multimedia University (MMU).
Selain itu terdapat juga IPTS di bawah MARA seperti Universiti Poly-Tech Malaysia-UPTM yang turut menawarkan peluang penajaan daripada MARA.
Boleh juga lihat beberapa lagi IPTS yang menawarkan pelbagai pilihan program yang membuka peluang prospek kerjaya yang sangat baik sebagai pilihan pelajar. (baca di sini)
Dapatkan info universiti dan program pilihan anda di Portal Kemasukan Universiti Berpusat.
Peluang untuk pelajar mengikuti program-program kompetitif di universiti awam dan swasta terpilih. |
Laluan ke Bidang Kemahiran TVET
Selain laluan akademik, pelajar juga perlu memberi perhatian serius kepada laluan kemahiran khususnya "Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)".
TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri dan bertujuan menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. Program TVET ini adalah berdasarkan kepada standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal dan pendedahan kepada latihan di industri.
"Pada Mei 2024, kerajaan mengumumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan TVET kini mencapai 98.5% dengan baki 1.5% sedang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi."
Kadar kebolehpasaran ini adalah bukti keberkesanan program TVET dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta memberikan prospek kerjaya yang terbaik pada masa akan datang. Ini adalah kerana lulusan program TVET mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik berbanding lulusan program akademik serta berpotensi untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik minat majikan untuk menawarkan pekerjaan kepada lulusan TVET.
KEBOLEHPASARAN GRADUAN TVET 2023 (TIDAK TERMASUK MTUN)
Agensi dan intitusi yang terlibat dengan TVET?
Kini lebih daripada 500 institusi TVET awam yang menawarkan pelbagai program TVET bagi semua peringkat pendidikan.
Sebagai contoh, peluang dan laluan pengajian TVET di bawah MARA adalah seperti berikut:
1. GIATMARA ➡️ IKM/ KKTM/ GMI ➡️ UniKL
2. IKM ➡️ KKTM/ GMI ➡️ UniKL
3. IKM/ KKTM/ GMI ➡️ UniKL
Lebih menarik, lepasan dan graduan GIATMARA, IKM, KKTM, GMI dan UniKL berpeluang menyertai program khas On the Job Traning (OJT) selama tiga tahun di Jepun bawah Program Pusat Bahasa Jepun MARA-OISCA.
Lepasan SPM berpeluang untuk melanjutkan pelajaran sama ada dalam bidang Sijil ataupun Diploma dalam program TVET yang berkemahiran tinggi. Selain itu, bagi pelajar yang kurang kecenderungan dalam akademik dan remaja di luar sistem pendidikan terdapat juga program khas Sijil dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Boleh dapatkan info TVET selanjutnya di sini.
PEMBIAYAAN PENDIDIKAN/ BIASISWA YANG DITAWARKAN TAHUN 2024
Pelajar dan ibu bapa boleh mendapatkan info berkaitan peluang pembiayaan pendidikan atau biasiswa oleh agensi kerajaan dan swasta untuk menampung pengajian di IPT. Boleh baca lanjut di: https://www.uniassist.my/post/permohonan-biasiswa-scholarship-2024
Semak syarat kelayakan dan bidang pengajian bagi setiap tawaran tajaan biasiswa terkini.
RUMUSAN
Ingatlah "Apa yang anda pilih sekarang menentukan laluan masa depan anda". Pilih dengan bijak dan buat pilihan tepat. Pastikan betul-betul minat dan kecenderungan anda serta sesuai dengan kemampuan dan kelayakan. Bincang dengan ibu bapa, guru dan kaunselor pendidikan untuk tetapkan pilihan anda. Semoga berjaya semuanya dan selamat melangkah ke alam baharu selepas alam persekolahan.
Semoga info ini bermanfaat sebagai persediaan akhir pelajar ke IPT. Selamat Maju Jaya dan semoga semuanya mencapai kecemerlangan.
<<<------------------------------------------------------------------------------------------>>>
Bacaan berkaitan:
Pengunduh Gambar Mini YouTube - Lihat dan Unduh Thumbnail